Friday, August 9, 2013

saya masih jahil

Tulisan yg sangat menyentuh hati.. sungguh jahil yer saya.. 


Seringkali aku merasakan bahawa aku sudah cukup baik dalam meniti kehidupan ini. Namun, ternyata sangkaan itu tersangat tidak benar. Tersasar jauh. Malah diri ini sebenarnya tak cukup baik seperti yang aku sangkakan.. Astargfirullah Al'azim..


Sungguh, diri ini terlalu jahil. Tersalah erti atau mungkin tidak memahami dengan tepat dengan 'apa itu dengan meletakkan ALLAH di puncak teratas. Ya, aku akui aku jahil. Jahil kerana tidak memahami istilah itu. Menyatakan telah meletakkan ALLAH sebagai yang teratas dalam kehidupan sekadar ikutan dan bukan atas kefahaman.

Malah, sekadar menyatakan tanpa beramal dengannya. Sedih bukan? Apalah ertinya hidup ini andai tidak meletakkan ALLAH di puncak tertinggi dalam kehidupan. Sungguh, hingga saat menitiskan air jernih ini, aku masih menyesali akan waktu yang terbuang. Kembali terfikir, tentang makna solatku, hikmah puasaku yang serasanya tidak mencegah aku dari kemaksiatan dan perkara lagha. Ya ALLAH, ampunilah aku. Sungguh aku hamba yang kufur nikmatMu Ya ALLAH.

Andai saja aku bisa putarkan semula waktu agar dapat aku perbaiki. Namun, itu tidak mungkin akan terjadi. Dulu aku terus leka dan hanyut dengan 'kemeriahan' hidup yang ku kira terlalu indah. Hingga menutup mata hatiku, membisukan kata hatiku lalu memekakkan suara halus desis hatiku yang perlahan. Terus-terusan berbuat kejahatan dan larangan ALLAH. Sungguh aku insaf. Bertaubat dan mahu kembali ke pangkal jalan. Ya ALLAH, jangan Kau biar aku terkapai-kapai lagi. Tuntun hatiku ke jalan yang Kau Redhai Ya ALLAH.

Dulu aku tertanya-tanya bagaimana yang dikatakan mencintai ALLAH melebihi dari mencintai diri sendiri. Malah mencintai lebih dari insan yang kita cintai. Waktu itu aku tahu, bahawa aku perlu meletakkan ALLAH teratas dari segala yang aku ada di dunia ini. Namun, tidak ku tahu bagaimana caranya. Bukan salah ibu bapaku. Mereka sudah mendidikku dengan baik. Namun, aku. Aku sendiri yang bersalah dalam hal ini. Tentang penerimaan aku tentang perihal itu. Aku dihantar ke sekolah agama, namun yang ku pelajari dari perkara Tauhid adalah percaya kewujudan ALLAH dan percaya bahawa dia tempat untuk kita semua sebagai muslim tunduk dan patuh atas setiap suruhan dan laranganNya. Namun, aku sekadar menghadam subjek itu sebagai pegangan, bukan untuk aku mendalami maksud disebaliknya. Sekadar ilmu yang keperoleh, namun sifar dalam mengamalkannya. Astargfirullah..jahilnya aku. Ya ALLAH Semoga kau mengampuni dosa-dosa aku.

Aku terlalu mengambil mudah akan hal ini. Bagiku memakai tudung, solat, puasa, berbuat baik kepada ibu bapaku, tidak menderhaka kepada mereka dan bersedekah itu sudah cukup. Yang ku tahu hanya perlu berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman. Tanpa mengamati secara mendalam dan tidak pula aku mengamalknya sesungguh hati. Betapa jahilnya aku sebagai seorang yang dilahirkan beragama Islam. Betapa ceteknya akal dan imanku. Ya ALLAH, kurniakan aku HidayahMu Ya ALLAH.. Dan jangan kau palingkan setelah kau berikannya kepadaku Ya ALLAH.

Saat aku kehilangan cinta yang belum halal itu, baru aku pelajari sesuatu. Baru aku tersedar saat cinta itu pergi. Ya. Benar. Setulus hati aku akui. dari situ barulah aku tersedar dari 'lena' yang cukup panjang. Sedar akan kejahilan aku selama ini, malah tersedar dari kesilapan aku. Saat itu semua terjadi, baru aku tahu, aku leka, lalai malah sering meninggalkan ALLAH. Leka akan keduniaan dan perasaan mencintai dan dicintai. Saat aku kehilangan cinta itu, baru kutahu, aku kehilangannya kerana aku tidak tulus dalam mencintai ALLAH. Tidak tekun dan tertib dalam mencintaNya. Malah tidak setia dalam mentaatiNya. Sungguh Ya ALLAH, aku insaf. Ampuni aku Ya ALLAH. Ampuni aku yang tidak terkira banyaknya dosa-dosaku Ya ALLAH.

Sungguh aku malu denganMu Ya ALLAH. Baru kini aku merasa takut yang sebenar andai Malaikat Maut mencabut nyawaku. Ya ALLAH terimalah taubatku. Tika cinta itu perlahan menjauh, aku sedar, aku menangis meratapinya, namun aku masih belum sedar akan hubunganku dengan Mu Ya ALLAH. Saat itu hubungan antara aku dan ALLAH sangat jauh. Dan di situ aku sedar, ALLAH jauh dari hatiku. Yang dekat hanya cinta dunia yang fana ini. Baru ku tahu dan faham, mengapa hati ini merasa kosong. Jawapanya, kerana aku yang menjauhkan ALLAH dari hati dan hidupku. Ya ALLAH sesungguhnya Kau Maha Pengasih dan Penyayang, Kau tarik aku semula dalam dakapan cintaMu dengan kepergian cinta yang tidak halal itu. Alhamdulillah..

Dengan kesedihan itu aku belajar mentaatimu, dan aku belajar meletakkan Engkau yang teratas dalam hidupku. Kini, baru aku mengerti akan khilafku. Aku kehilangan cinta kerana aku melalaikan cinta yang sepatutnya aku tumpahkan kepadaMu. Ternyata, aku yang bersalah kerana tidak menjaga cinta terhadap Mu dengan sebaiknya. Tidak hairan andai cinta sesama manusia yang aku pernah rasai itu hilang, kerna aku sendiri tidak sebenarnya mencintaiMu Ya ALLAH. Andai ini kifarah dosa silamku, aku redha Ya ALLAH. Hukumlah aku dengan perasaan ingin kembali ke sisiMu Ya ALLAH.

No comments:

Post a Comment